KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melahirkan rasa kesyukuran kerana rakyat negara ini masih dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan tenang tanpa adanya pergolakan.

Beliau berkata rakyat Malaysia masih boleh bersama keluarga terdekat dan boleh berhubung dengan mereka yang jauh menerusi telefon.

"Sebagaimana orang lain, saya juga menggunakan teknologi seperti Zoom untuk berhubung, menatap wajah dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain...lepas juga rindu biarpun tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri yang mulia ini," katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya semalam.

Muhyiddin berkata beliau terkenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya tidak dapat meraikan Aidilfitri apabila kediaman mereka dibedil oleh jet-jet dan roket-roket rejim Israel.

"Sungguh besar ujian yang terpaksa mereka tempuhi tatkala umat Islam yang lain sibuk merayakan Aidilfitri, maka sama-samalah kita mendoakan agar Allah pelihara dan lindungi saudara kita di Palestin.

"Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat sebagai warga bumi bertuah ini tatkala negara lain dan dunia diuji dengan ujian yang amat getir," katanya.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin

Perdana Menteri sebelum itu berkongsi suasana di pagi hari raya, iaitu beliau berkesempatan menjadi imam solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga dan pembantu rumah dalam suasana yang lain daripada biasa.

Beliau berkata penularan wabak COVID-19 dan kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi membantutkan aktiviti dan rutin harian yang berkehendakkan setiap orang menyambut Aidilfitri tidak seperti kelaziman.

"Tahun ini, sekali lagi kita terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah sendiri seperti tahun lalu dan sudah pasti saya seperti ibu bapa yang lain merasa sedih pada pagi Syawal ini kerana tidak dapat bersama anak-anak dan menantu serta cucu kerana mereka dari lain daerah walaupun berada di Kuala Lumpur.

"Sedih dan sayu juga apabila takbir raya tahun ini hanya disahut jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, bukan seperti di masjid atau surau seperti mana sambutan sebelum wabak ini melanda negara," katanya yang mengakui memang amat sukar untuk menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum.

-- BERNAMA