KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa negara yang aman dan stabil dibina berasaskan kerangka besar yang memberi keutamaan kepada prinsip negara hukum serta pelaksanaan undang‑undang yang adil dan berkesan.
Beliau berkata dalam usaha memperkukuh asas tersebut, keperluan menggubal bentuk perundangan baharu serta memastikan keberkesanan langkah pelaksanaannya tidak boleh dipandang ringan.
Advertisement
"Saya menyebut tentang kerangka besar, negara ini setelah aman harus meletakkan beberapa asas. Pertama sebagai negara hukum, harus sentiasa melihat keperluan mewujudkan bentuk perundangan, langkah-angkah baharu, supaya undang-undang itu dapat menjamin tertegaknya negara hukum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sambutan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Anwar, pembentukan undang‑undang yang baik tidak hanya tertumpu kepada teks perundangan semata‑mata, tetapi turut membabitkan aspek pelaksanaan, kecekapan pengurusan, serta tahap integriti badan pelaksana.
Beliau menegaskan bahawa konsep “just laws” perlu diberi perhatian serius dalam setiap proses penggubalan undang‑undang baharu.
Tegas beliau lagi, undang‑undang itu mesti dilihat adil yang mana ia tidak boleh dirangka oleh satu pihak yang memihak kepada kelompok mereka atau biasanya kelompok berkuasa dan kelompok yang punyai harta.
Perdana Menteri juga berkata usaha memastikan keadilan undang‑undang adalah asas kepada pembinaan negara yang benar‑benar demokratik serta berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.