MALAYSIA
PM terharu kutipan Sejahtera MADANI cecah RM127 juta, atasi sasaran awal

Anwar menyerahkan cek kepada salah seorang penerima bantuan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Khamis. - Foto/ Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu apabila jumlah sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) inisiatif Sejahtera MADANI mencecah RM127 juta, jauh melebihi sasaran awal RM50 juta.
Ringkasan AI
- Program CSR Sejahtera MADANI berjaya mengumpul RM127 juta, melebihi sasaran awal RM50 juta, mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap pentadbiran negara dan usaha membanteras kemiskinan.
- Sumbangan daripada syarikat korporat seperti Petronas, TNB dan YTL akan disalurkan ke Tabung Kesejahteraan Rakyat, dengan penyumbang layak mendapat potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
- Bantuan tunai disalurkan kepada penerima dari kelompok sasar, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar, melibatkan lebih 306,000 Ketua Isi Rumah dalam sistem eKasih.
Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.
“Negara yang kuat bermula dengan kepimpinan yang menjaga tatakelola, bertanggungjawab dan bebas daripada ketirisan. Tetapi kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa kekuatan sektor swasta yang mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Anwar turut menyerahkan cek bantuan tunai kepada beberapa penerima mewakili kelompok sasar dari seluruh negara.
Antaranya ialah Nizam Aradin, 49, peniaga dari Tanjung Karang yang menerima bantuan pembinaan rumah baharu untuk keselesaan beliau dan keluarga.
“Kemudahan yang diberikan sangat membantu. Kami sebelum ini hanya menumpang, tiada rumah sendiri. Saya sangat terharu, sukar digambarkan dan amat bersyukur kepada kerajaan,” katanya.
Seorang lagi penerima, K. Vasanthi, 57, pesara swasta dari Ampang, Selangor yang menjaga adik iparnya yang sakit selepas kehilangan suami 19 tahun lalu, turut menyatakan kelegaan menerima bantuan.
“Kita jimat sikit, boleh guna untuk bayar sewa rumah dan hutang bank,” katanya ketika ditemui.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Antara syarikat korporat yang tampil memberi sumbangan ialah Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), YTL Corporation, FGV Holdings dan Farm Fresh Berhad.
Kesemua sumbangan CSR itu akan disalurkan terus ke Tabung Kesejahteraan Rakyat yang diuruskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Penyumbang layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Sub-Seksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Setakat 15 Julai 2025, seramai 306,403 Ketua Isi Rumah (KIR) telah direkodkan dalam sistem eKasih, melibatkan 1,017 kategori miskin tegar dan 305,386 kategori miskin.
Kerajaan menyasarkan pengurangan 33 peratus golongan miskin tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kemiskinan secara menyeluruh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami