MALAYSIA
PM tiba di Timor-Leste untuk lawatan rasmi, perkukuh hubungan dan sokong hasrat sertai ASEAN

Anwar disambut Presiden Jose Ramos-Horta dan PM Xanana Gusmao. - Foto Bernama
DILI (Timor-Leste): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari ke Timor-Leste bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang bakal dimuktamadkan.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste, kunjungan pertama dalam 22 tahun, bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN.
- Anwar disambut Presiden Jose Ramos-Horta dan PM Xanana Gusmao, termasuk upacara simbolik menaiki kenderaan klasik Mini Moke, mencerminkan hubungan mesra dan budaya Timor-Leste.
- Lawatan dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi, pendidikan dan pelancongan; perdagangan dua hala bernilai AS$18.72 juta pada 2024, dengan lebih 200 PKS Malaysia aktif di Timor-Leste.
Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dan Ketua Protokol Negara Timor-Leste Juvencio Martins.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil selain para pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.
Majlis sambutan ketibaan Perdana Menteri turut diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik diikuti penyampaian simbolik kain Tais iaitu tekstil tenunan tradisional yang sarat dengan nilai budaya dan warisan masyarakat Timor-Leste serta persembahan oleh kumpulan kebudayaan dan pancaragam sekolah.
Dalam satu upacara penuh simbolik dan jarang berlaku, Anwar dijemput menyertai Ramos-Horta menaiki Mini Moke, sebuah kenderaan klasik dengan bumbung terbuka yang merupakan pemandangan ikonik dalam acara kenegaraan di Timor-Leste.
Ramos-Horta memandu sendiri kenderaan itu, dengan Anwar duduk di tempat penumpang hadapan di sebelahnya manakala Gusmao mengambil tempat di belakang mereka.
Penggunaan Mini Moke, yang sinonim dengan gaya peribadi Ramos-Horta dan pendekatan mesra rakyat beliau, memberikan sentuhan budaya yang unik ketika ketiga-tiga pemimpin bersama-sama melakukan perjalanan dari lapangan terbang ke sebuah hotel berdekatan.
Ini merupakan kunjungan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun sekali gus mencerminkan sokongan berterusan negara terhadap aspirasi republik itu untuk menyertai ASEAN.
Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menubuhkan kedutaan di Dili pada malam kemerdekaan Timor-Leste pada Mei 2002, dan hingga kini kekal sebagai antara penyokong kuat negara demokrasi muda itu, yang memiliki hampir 1.4 juta penduduk, sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 rantau itu di Kuala Lumpur bulan depan.
Lawatan itu juga dijangka memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dan lebih 1,000 warga Timor-Leste telah mendapat manfaat daripada latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia manakala 55 pelajarnya sedang melanjutkan pengajian di Malaysia.
Hubungan ekonomi dan antara rakyat juga semakin berkembang, didorong oleh penerbangan terus Batik Air dari Kuala Lumpur ke Dili yang dilancarkan pada Jun 2025 serta pengenalan kemudahan perjalanan tanpa visa selama 30 hari untuk rakyat Malaysia pada Ogos lepas.
Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai AS$18.72 juta (RM85.68 juta).
Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah AS$18.37 juta (RM84.06 juta) manakala import dari negara itu adalah sebanyak AS$0.35 juta (RM1.62 juta).
Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai perdagangan dua hala mencecah AS$6.65 juta (RM26.88 juta) dengan lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia aktif di Timor-Leste dalam pelbagai sektor seperti makanan, hospitaliti, peruncitan serta perkhidmatan automotif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami