PM turun lawat mangsa banjir

Astro Awani
Disember 18, 2021 18:11 MYT
Perdana Menteri sempat bertanyakan sendiri dengan mangsa banjir mengenai situasi yang mereka hadapi. - Foto Twitter/@IsmailSabri60
KUALA LUMPUR: Susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa untuk melawat beberapa mangsa yang terkesan akibat kejadian tersebut.
Menerusi perkongsian di laman Twitternya sekitar jam 1.30 pagi Ahad, Ismail Sabri sempat meninjau sendiri keadaan banjir di Kampung Bukit Lanchong.
“Ramai penduduk Kampung Bukit Lanchong tersekat akibat banjir di kawasan Putra Heights, Selangor.
“Saya sempat bertanya sendiri dengan mangsa banjir mengenai situasi yang mereka hadapi,” tulis beliau di laman tersebut.
Perdana Menteri turut memaklumkan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus melaksanakan kerja-kerja memindahkan serta membantu penduduk yang terkandas di kawasan tersebut.
“Kita akan pastikan setiap mangsa banjir menerima bantuan dengan cepat dan pantas,” ujarnya.
BACA: Banjir: Keutamaan kerajaan selamatkan nyawa rakyat - PM
Terdahulu, Ismail Sabri telah memberi jaminan bahawa keutamaan kerajaan kini ialah memindahkan mangsa banjir yang terperangkap demi menyelamatkan nyawa mereka.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata selain itu kerajaan turut akan memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa-mangsa banjir terutama di sekitar Lembah Klang, yang paling teruk terjejas dalam bencana banjir kali ini.

Ramai penduduk Kampung Bukit Lanchong tersekat akibat banjir di kawasan Putra Heights, Selangor. Saya sempat bertanya sendiri dengan mangsa banjir mengenai situasi yang mereka hadapi. pic.twitter.com/AKwCJYawAp

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) December 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#banjir #Lembah Klang #Kuala Lumpur #Selangor #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Kampung Bukit Lanchong #Putra Heights