Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lima intensif baharu buat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau menjelaskan, langkah itu dibuat bagi memastikan kebajikan golongan tersebut sentiasa terbela.

Intensif pertama merupakan Bantuan Bakti Negara (BBN) bernilai RM 1,200 kepada Veteran ATM yang tidak berpencen.

Kata Najib, BBN ini akan diberikan secara tahunan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Tambahnya syarat penerima BBN pada asasnya adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu mereka yang berada di bawah kelompok B40 melibatkan 66,000 Veteran ATM Tidak Berpencen berdasarkan senarai penerima BR1M.

"Bagi Veteran ATM Tidak Berpencen yang bukan penerima BR1M pula, mereka akan menerima RM600 dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas. Untuk ini, seramai 10,959 Veteran Tidak Berpencen yang berusia di atas 60 tahun pada tahun 2017 akan mendapat faedah daripada inisiatif BBN," katanya.

Inisiatif kedua, Skim Anuiti Veteran (SAVe), yang bertujuan memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran ATM tidak berpencen sepertimana veteran yang mendapat pencen bulanan.

"Skim BBN dan SAVe ini adalah untuk menjaga kebajikan warga ATM yang telah memilih untuk tidak meneruskan perkhidmatan sehingga tempoh minimum untuk membolehkan mereka menerima pencen. Ini satu skim baru kalau berhenti awal tidak sampai 21 tahun boleh juga terima pencen," tambahnya lagi.

Mengumumkan insentif ketiga, Najib berkata ia penambahbaikan kepada skim yang melibatkan veteran yang menerima pencen hilang upaya yang tidak mendapat mendapat pencen perkhidmatan.

Ia menyaksikan kenaikan sebnayak 300 peratus hingga 800 peratus membabitkan nilai minimum RM500 hingga RM2,000.

Insentif keempat pula, insentif kepada veteran kelainan upaya Tabung Pahlawan Persatuan ATM iaitu penambahan RM500 menjadikan jumlah penerimaan kepada RM1,000 dan insentif kelima ialah penambahan kuota ibadah Haji veteran ATM yang menyaksikan penambahan 300 jemaah menjadikan jumlah keseluruhan jemaah dapat menunaikan haji tahun ini seramai 400 orang berbanding hanya 100 jemaah pada tahun-tahun sebelumnya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Tabung Pahlawan 2017.

Tahun lalu, Tabung Pahlawan memperoleh RM4.65 juta.