HANOI: Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 April untuk membincangkan kerjasama dua hala serta beberapa perkembangan serantau dan antarabangsa, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Malaysia dan Vietnam berbincang mengenai kerjasama dua hala serta usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menangani isu serantau seperti krisis Myanmar.
  • Vietnam menghargai kepimpinan Malaysia dan menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha ASEAN dalam bantuan kemanusiaan dan pemulihan bencana.
  • Kedua-dua negara bersetuju mengekalkan pertukaran maklumat dan memperkukuh perkongsian strategik untuk membina ASEAN yang lebih kukuh dan bersatu.


Dalam perbualan itu, Anwar memaklumkan mengenai inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam menangani isu-isu serantau yang turut dibincangkan dalam perbualan mereka pada 6 April lepas.

Beliau berkata Malaysia telah mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan di Myanmar bagi memperluaskan perjanjian gencatan senjata demi memfokuskan kepada bantuan kemanusiaan susulan bencana baru-baru ini, lapor VNA.

Selain itu, beliau turut menggariskan pendekatan ASEAN untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rakan kongsi sambil mengekalkan peranan pusat blok itu, kata laporan berkenaan.

Sementara itu, Chinh menghargai usaha peribadi Anwar dan kepimpinan Malaysia dalam menangani cabaran serantau, sambil menekankan bahawa ASEAN perlu memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis Myanmar serta terus menunjukkan solidariti dan sokongan terkoordinasi untuk pemulihan dan pembinaan semula pasca gempa bumi melalui mekanisme sedia ada seperti Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre) dan Setiausaha Agung ASEAN.

Beliau mengulangi komitmen Vietnam untuk menjadi ahli ASEAN yang aktif dan bertanggungjawab serta berikrar untuk terus menyokong Malaysia sepanjang kepengerusiannya dan dalam penganjuran persidangan ASEAN yang akan datang.

Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk mengekalkan mekanisme pertukaran maklumat serta penyelarasan yang berkesan bagi memperdalamkan perkongsian strategik komprehensif Vietnam-Malaysia dan membina ASEAN sebagai blok yang kukuh, bersatu dan berperanan pusat di rantau ini.

-- BERNAMA