PM zahir takziah atas pemergian Lajim, satu kehilangan buat negara

Astro Awani
Ogos 29, 2021 05:26 MYT
Pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) selain pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Parlimen Beaufort dan DUN klias itu adalah satu kehilangan kepada negara.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah buat isteri dan ahli keluarga atas pemergian Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ, Sabah pada Ahad.
Perdana Menteri berkata, pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) selain pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Parlimen Beaufort dan DUN klias itu adalah satu kehilangan kepada negara.
"Allahyarham semasa hayatnya pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Semoga segala khidmat bakti Allahyarham mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT dan semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
BACA: Lajim pemimpin berdedikasi sepanjang karier politik, sering kongsi nasihat - Hajiji
BACA: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19
Sumber Facebook ismailsabri60
Untuk rekod, Lajim, 66, yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort dimasukkan ke Hospital KPJ selepas disahkan positif COVID-19 ketika mendapatkan rawatan kerana kurang sihat sekembalinya dari lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat pada 12 Ogos lalu.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008-2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009-2012.
Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort pada 2009-2012 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias pada 2013-2016.
Beliau pernah menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 2013-2016 semasa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
#Lajim Ukin meninggal dunia #ismail sabri yaakob #COVID-19 #Beaufort