Permodalan Nasional Berhad (PNB) menafikan terbabit dalam pembelian bon sukuk yang dikeluarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

PNB dalam satu kenyataan kepada media berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang tawaran jualan daripada 1MDB.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan PNB telah membeli sukuk dari 1MDB.

Sukuk tersebut bernilai RM1.5 bilion diterbitkan kepada PNB dan Tabung Haji.

Tabung Haji pada Selasa mengakui membuat pembelian bon terbabit bernilai RM920.8 juta.

Pembelian sukuk tersebut didakwa antara langkah penyelamatan 1MDB yang dikatakan dibebani hutang dan kerugian besar daripada beberapa pelaburan yang dilakukan di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadlian Rakyat, Rafizi Ramli melahirkan rasa bimbangnya mengenai isu ini.

Beliau berkata kontroversi membabitkan 1MDB menyaksikan beberapa syarikat dan agensi berkaitan kerajaan turut sama terlibat dalam langkah penyelamatan 1MDB yang bakal merugikan negara.