Kedah menjadi negeri pertama mengeluarkan fatwa permainan realiti maya di telefon pintar Pokemon GO adalah haram.

Fatwa tersebut diputuskan dalam mesyuarat 10 ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang berlangsung di pejabat Anak Bukit, di sini, hari ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin menggesa agar Pokemon GO disekat di Malaysia.

"Kita mahu lebih daripada itu. Kita mahu perkara ini dihalang dan disekat oleh pihak yang ada autoriti untuk menghalang, sebab kita rasa kalau hanya kita mengeluarkan hukum sebagai haram, orang masih buat juga.

"Kami dapati bahawa kemudaratan yang tercetus daripada permainan Pokemon GO ini adalah lebih besar," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, di sini, pagi tadi.

Sebelum ini, mufti di beberapa negeri temasuk Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan menggesa semua negeri tidak membenarkan umat Islam bermain Pokemon GO.

Permainan di telefon pintar yang menggunakan teknologi realiti maya dan GPS itu dilihat mengundang kemudaratan kepada masyarakat.