KUALA LUMPUR: Kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat 4.50 petang Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Menurut kenyataan itu, suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Lokasi lain Kuala Kangsar (Perak), Petaling dan Sepang (Selangor), Kuala Lumpur serta kawasan Beaufort di Sabah dan Limbang, Sarawak.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan hujan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan. - BERNAMA