Polis akan memanggil beberapa saksi lagi bagi melengkapkan siasatan kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki, 7 Julai lalu.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, proses siasatan berjalan seperti biasa dan beliau tidak akan memberikan tekanan kepada anggota yang menjalankan siasatan sebaliknya percaya ia akan dibuat secara telus dan profesional. 



“Saya difahamkan bahawa bila siasatan telah mula dijalankan oleh pegawai penyiasat, beberapa saksi dan mereka yang mana tahu perkara itu, kesalahan yang dikatakan itu, (saksi) akan dipanggil dan dirakamkan kenyataan menjawab beberapa soalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik SeMalaysia di George Town, pada Rabu. 



Sementara itu, proses mengambil keterangan Mohd Khairuddin yang dijadualkan hari ini telah ditunda pada Khamis.

Mohd Khairuddin sebelum ini mengaku melanggar perintah wajib dan meminta maaf telah dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.



Beliau turut memulangkan gajinya sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) bawah Kementerian Kesihatan.