Polis Sabah masih menyiasat kedudukan sebenar dua kru bot warga asing yang dipercayai diculik sekumpulan lelaki di perairan Pulau Gaya, Semporna tengah malam, selasa lalu.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mamah ketika dihubungi Astro AWANI berkata sehingga kini pihak polis juga belum menerima sebarang panggilan telefon menuntut wang tebusan mengenai penculikan mangsa.

Tambah beliau, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan terutama Kedutaan Indonesia sekiranya panggilan wang tebusan ada diterima pihak tersebut.

"Sehingga hari ini, kita masih tidak menerima panggilan mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan.

"Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah dan agensi-agensi di bawah Esscom masih lagi giat mengesan kedudukan sebenar mangsa dan juga suspek yang terlibat dalam kes penculikan ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam selasa lalu, terdapat empat kru bot nelayan berada di atas kapal tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala juragan bot, Samsul Saguni, 40 tahun dan pembantu Usman Yunus 35 tahun telah diculik oleh sekumpulan penjenayah bertopeng dan bersenjata api dipercayai dilakukan kumpulan penculik untuk tebusan (KFR).

Untuk rekod, Kes penculikan ini merupakan kejadian pertama di Perairan Sabah dalam tempoh dua tahun selepas kali terakhir pada 8 Disember 2016 apabila tiga penculik berjaya ditembak oleh pasukan keselamatan manakala dua lagi ditangkap.