Polis hari ini memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang membuat ucapan mengandungi elemen hasutan dalam perhimpunan dirancang di negara ini pada 27 Mac.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sesiapa yang berucap pada perhimpunan itu, walaupun diadakan di kawasan tertutup, perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana polis akan mengambil tindakan jika menyentuh perkara yang ada unsur menghasut.

"Saya tidak tahu di mana mereka nak buat perhimpunan tapi walaupun dalam kawasan tertutup kami (polis) akan pantau (ucapan)," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di sini hari ini.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara yang telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan yang dicadangkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bertujuan untuk membantah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.