KOTA KINABALU:Polis Sabah berjaya memberkas seorang lelaki tempatan yang mendalangi sindiket pengedaran dadah di Inanam.

Hasil risikan polis, lelaki berusia 23 tahun tersebut berjaya diberkas pada 14 Oktober lalu berhampiran kawasan pasar malam Inanam, kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji.

"Suspek warga tempatan yang menjadi dalang pengedaran dadah di Inanam itu berjaya diberkas oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Kinabalu di kawasan pasar malam Inanam.

"Pada mulanya, suspek bertindak agresif dengan cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menahan suspek.

"Hasil tangkapan polis menemui sebanyak 205 keratan straw mengandungi dadah jenis syabu dan hasil siasatan awal juga mendapati dadah terbabit diperoleh suspek dari pasaran tempatan." Katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut Habibi dadah jenis syabu itu ditemui polis di dalam poket seluar suspek dan dadah seberat 70.50 gram tersebut dianggarkan bernilai RM7,050.

Sebuah kenderaan jenama Proton turut disita kerana disyaki digunakan suspek bagi tujuan pengedaran dadah.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.