KUALA LUMPUR: Mangsa bencana banjir di Nepal bakal berdepan cabaran baharu apabila negara itu memasuki musim sejuk pada Oktober, dengan barangan asas diperlukan segera antaranya selimut, pakaian tebal serta peralatan memasak.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan Global Peace Mission (GPM), Nik Muhammad Nik Yusoff berkata, keperluan berkenaan dikenal pasti menerusi Rapid Needs Assessment (RNA) yang dijalankan pasukannya ketika di Nuwakot, antara kawasan terjejas akibat bencana banjir.
"Ada mangsa banjir di Nepal sudah mula pulang ke rumah saudara-mara yang tidak terkesan dengan banjir atau menyewa kediaman.
"Jadi apabila pulang itu, mereka sehelai sepingang, perlukan peralatan rumah macam dapur gas, tong gas dan bahan memasak seperti gula," jelas Nik Muhammad dalam satu temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Rabu.
Sebagai rekod, Nik Muhammad bersama ahli pasukan GPM turun padang ke Nepal bermula 11 September (Jumaat) hingga 14 September (Isnin) untuk menilai keperluan mangsa bencana selain menyalurkan bantuan awal kepada penduduk.
Mengulas situasi di lapangan, Nik Muhammad berkata, skala kemusnahan infrastruktur akibat bencana banjir di Nepal adalah sesuatu yang tidak tercapai dek akal.
"Kami berpeluang melihat sendiri kesan kemusnahan akibat bencana banjir, termasuk sungai yang sebelum ini dianggarkan selebar 30 meter tetapi melebar sehingga kira-kira 130 meter akibat arus deras membawa batu-batuan.
"Kalau kita tengok sampai ke atas, saya fikir paras kenaikan air banjir itu boleh menyamai 10 hingga 15 tingkat bangunan.
"Sebahagian besar laluan dari Nuwakot ke kawasan tinggi masih ditutup berikutan jambatan runtuh, manakala kerajaan Nepal sedang membina jambatan sementara bagi memulihkan akses," katanya.
Tambah Nik Muhammad, GPM akan meneruskan bantuan melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di Nepal, selain merancang misi lanjutan bagi pengagihan bantuan pada masa akan datang.
"Nepal menggunakan sistem bantuan One Door Policy iaitu semua sumbangan kemananusiaan antarabangsa diagihkan menerusi orang tengah, iaitu dikumpulkan di pusat tertentu dan dipantau pegawai daerah sebelum disalurkan kepada mangsa banjir," jelasnya.
Dalam pada itu, Nik Muhammad berkata, pihaknya ketika di lapangan turut dimaklumkan mengenai keperluan memberi sokongan kepada rakyat Nepal yang berada di Malaysia, khususnya mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana berkenaan.
"Ada antara mereka tidak dapat pulang ke tanah air kerana pelbagai kekangan. Kami akan mengatur pertemuan dengan Kedutaan Nepal di Malaysia bagi menilai keperluan semasa komuniti Nepal yang terkesan," ujarnya.
Sementara itu, status kira-kira 55 rakyat Malaysia yang berada di Nepal masih kekal sebagai tidak dapat dihubungi ketika pasukan GPM berada di negara itu.
"Sekarang ini operasi bukan lagi mencari dan menyelamat, tetapi hanya operasi mencari sahaja kerana sudah melebihi tempoh tiga minggu.
"Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang pulang ke tanah air baru-baru ini bekerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), mereka membuat pemetaan di kawasan terakhir rakyat Malaysia dilaporkan berada.
"Dapatan itu dibentangkan kepada Wisma Putra, seterusnya kenyataan rasmi dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat ini," katanya.
Menurut Nik Muhammad, Kedutaan Malaysia turut menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal, khususnya mereka yang menjalankan aktiviti pendakian di banjaran Himalaya, supaya melaporkan keberadaan masing-masing kepada pihak kedutaan atau melalui aplikasi e-Konsular.