MALAYSIA
Polis berkas suspek samun tiga peniaga makanan wanita

Polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang berlaku di beberapa kampung di daerah Besut selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Gong Medang, Isnin lepas. - Foto hiasan/BERNAMA
JERTIH: Polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang berlaku di beberapa kampung di daerah Besut selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Gong Medang di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad berkata suspek berusia 32 tahun yang disyaki terlibat melakukan kegiatan samun bersenjata pisau sejak bulan lepas itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.
"Suspek ditahan susulan tiga kejadian samun melibatkan tiga mangsa perempuan yang kesemuanya merupakan peniaga makanan yang melakukan penghantaran ke rumah (COD), antara 24 Jun hingga 20 Julai lepas.
"Modus operandi suspek ialah mengenal pasti peniaga wanita yang melakukan COD dan akan memberi alamat rumah yang tidak ada penghuni di kawasan terpencil di Kampung Gong Medang dan Kampung Tembila," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Besut di sini hari ini.Azamuddin berkata apabila mangsa sampai di lokasi yang diberikan, suspek akan menghampiri kereta mangsa lalu mengacukan pisau sebelum menyamun barang kemas milik mangsa.
Beliau berkata suspek berjaya menyamun barang kemas milik mangsa pertama dan kedua melibatkan anggaran kerugian RM30,000 dan wang tunai RM200.
"Bagaimanapun, suspek gagal menyamun mangsa ketiga kerana mangsa bertindak melawan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan," katanya.
Azamuddin berkata susulan tangkapan itu polis turut merampas dua ketul emas yang telah dileburkan seberat 82.26 gram dipercayai milik dua mangsa, sebuah kereta Honda City dan dua unit telefon bimbit milik suspek.
Beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan saringan air kencing didapati negatif dadah.
"Suspek yang telah berkeluarga itu di reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 akta sama," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami