MALAYSIA
Polis bongkar kegiatan edar dadah guna peket minuman, tahan wanita Vietnam

Kumar (dua, kanan) menunjukkan antara barang rampasan kes serbuan sindiket pengedaran dadah. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah dengan berselindung menggunakan peket minuman seperti kopi dan jus dalam serbuan di dua pangsapuri di sekitar bandar raya ini hujung bulan lepas.
Ringkasan AI
- Polis Johor membongkar sindiket dadah yang berselindung di sebalik peket minuman seperti kopi dan jus, dengan rampasan dadah bernilai lebih RM4.9 juta dalam dua serbuan pada 25 dan 26 Julai.
- Seorang wanita warga Vietnam dipercayai dalang utama ditahan, manakala seorang lelaki dikenali Terrence Ki Kek Ding dari Sarawak sedang dikesan bagi membantu siasatan.
- Dadah diproses dan dibungkus semula dalam peket minuman untuk dijual sekitar RM250 seunit, disasarkan kepada pasaran tempatan melalui jualan dalam talian dan rangkaian pengedar.
"Saringan air kencing mendapati wanita berkenaan positif dadah jenis ketamin. Hasil pemeriksaan, polis menyerbu satu lagi unit pangsapuri (26 Julai) yang dipercayai menjadi lokasi pembungkusan semula dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumar berkata dadah dirampas dalam kedua-dua serbuan itu terdiri daripada 29,219 gram serbuk ekstasi, 131 gram pil ekstasi dan 20 gram ketamin dianggar bernilai RM4.9 juta, yang mampu digunakan sebanyak 97,849 penagih jika terlepas ke pasaran.
Beliau berkata polis merampas sejumlah peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah, wang tunai RM3,000, wang tunai SGD193 serta pelbagai barang kemas bernilai lebih RM34,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM4,939,778.60.
Siasatan, katanya mendapati suspek turut mencampurkan bahan dadah dengan ramuan lain seperti serbuk kopi dan perasa, lalu dimasukkan ke dalam peket minuman yang lazim di pasaran tempatan, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan memudahkan pengedaran.
"Peket-peket ini dijual sekitar RM250 seunit. Kami percaya sindiket ini menyasarkan pasaran tempatan dan menjualnya secara dalam talian serta melalui rangkaian pengedar tertentu," katanya.
Sehubungan dengan itu, Kumar berkata polis meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki seorang individu dikenali Terrence Ki Kek Ding, 35, berasal dari Sarawak yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita terbabit kini direman hingga 8 Ogos ini.
"Polis percaya sindiket ini aktif sejak April lepas. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jaringan penuh sindiket," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami