GEORGE TOWN: Polis berjaya membongkar makmal memproses dadah, menahan dua lelaki serta merampas pelbagai dadah dianggar lebih 36 kilogram (kg) bernilai RM381,160 dalam dua serbuan di Seberang Jaya, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri sejak sebulan lepas, pihaknya menyerbu sebuah rumah dua tingkat pada 9 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis membongkar makmal memproses dadah heroin di rumah itu dan merampas 18,540 gram (g) heroin, kafein (16,275 g), syabu (895 g) dan heroin base (745 g) bernilai RM381,160.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah jenis heroin di rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya kemudian menyerbu sebuah lagi rumah dua tingkat dan menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang dipercayai ketua sindiket tersebut.

Foto: Facebook PDRM Pulau Pinang

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan daripada rangkaian mereka sebelum memproses dan mengedarkan dadah untuk pasaran tempatan sejak Julai tahun lepas dengan mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Menurutnya susulan penahanan dua lelaki yang tidak bekerja itu, polis merampas lima kenderaan bernilai RM259,500, barang kemas berjumlah RM2,340 dan wang dalam akaun bank berjumlah RM7,777.

"Dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu kini direman hingga 24 Mac ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dan menambah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 190,000 penagih.

Dalam kes berasingan, Mohd Shuhaily berkata pihaknya membongkar makmal memproses dadah mini dengan penahanan seorang pengedar berusia 32 tahun dan merampas pelbagai dadah bernilai RM110,385 dalam serbuan di sebuah rumah flat di Jelutong di sini pada Khamis lepas.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, lelaki tersebut menjadikan rumah disewanya itu sebagai makmal memproses dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) iaitu sejenis dadah yang boleh dicampurkan dalam jus serta mendapat permintaan dalam kalangan mereka suka berhibur, sejak bulan lepas.

"Dalam serbuan itu, polis merampas MDMA seberat 2.025 kilogram, syabu (53.7g), ketamin (16.5g), 45 biji pil ekstasi dan 40 biji eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM110,385. MDMA itu dihasilkan dalam pelbagai perisa buah-buahan dan dijual kepada pembeli di sekitar negeri ini," katanya dan menambah dadah itu boleh digunakan oleh 800 penagih.

Mohd Shuhaily berkata lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah itu kini direman hingga 22 Mac ini dan pihaknya kini giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak Januari hingga 19 Mac lepas, JSJN Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.021 juta dan menyita harta serta wang milik pengedar dadah berjumlah RM4.096 juta.

Menurutnya pihaknya turut menahan 2,773 individu berkaitan pelbagai kesalahan dadah sejak Januari hingga 19 Mac lepas berbanding 1,711 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

"Daripada 2,773 individu, seramai 647 ditahan kerana membekalkan dadah, memiliki dadah (1,470) manakala ujian saringan air kencing positif terhadap dadah (656). Dalam tempoh sama, JSJN Pulau Pinang telah menjalankan 12 operasi Tapis Khas dan operasi Sarang dengan berjaya menumpaskan tujuh sindiket pengedaran dadah," katanya.

-- BERNAMA