Polis bongkar makmal proses syabu dalam kebun durian, 1.2 tan dadah dirampas

Hussein menunjukkan barang rampasan selepas polis membongkar makmal haram memproses dadah jenis methamphetamine bernilai RM37.89 juta di kebun durian di Jalan Teluk Bahang. - Foto Bernama
BALIK PULAU: Polis membongkar makmal haram memproses syabu dalam sebuah kebun durian di Jalan Teluk Bahang, di sini selepas menahan tiga lelaki warga asing dan merampas 1.2 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM38 juta dalam siri serbuan di Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lepas.
Ringkasan AI
- Polis membongkar makmal haram memproses syabu dalam kebun durian di Jalan Teluk Bahang, Pulau Pinang, menahan tiga lelaki warga asing dan merampas 1.2 tan dadah bernilai RM38 juta.
- Sindiket yang menjalankan operasi sejak Ogos melibatkan tiga lelaki sebagai ahli kimia, dengan suspek tempatan berperanan sebagai koordinator menguruskan lokasi dan urusan pengangkutan.
- Sindiket menggunakan pelbagai kaedah termasuk melarutkan syabu ke dalam helaian fabrik sebelum dihantar melalui syarikat kurier antarabangsa, dengan pihak berkuasa berjaya mengesan tujuh bungkusan yang dihantar ke Australia dan Hong Kong.
"Polis kemudian menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Windmill, Jalan Gurdwara dan merampas 474 kg syabu. Premis itu dipercayai dijadikan lokasi untuk menyimpan serta membungkus dadah sebelum diedarkan," katanya kepada pemberita di kebun durian yang dijadikan makmal memproses dadah di sini hari ini.
Beliau berkata polis seterusnya menyerbu kebun durian yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama sekali gus membongkar sebuah makmal memproses syabu dalam skala besar dan merampas 60 kg serbuk syabu, ketulan kristal disyaki syabu (54 kg), cecair syabu (574 kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah.
Hussein berkata jumlah keseluruhan syabu yang dirampas itu adalah seberat 1.2 tan dengan nilai pasaran RM38 juta.
Beliau berkata siasatan polis mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan berkenaan sejak Ogos lepas dengan tiga lelaki yang ditahan berperanan sebagai ahli kimia yang dibawa masuk bagi menghasilkan dadah tersebut.
Menurut beliau, lelaki tempatan itu pula berperanan sebagai koordinator menguruskan hal lokasi, tempat memproses syabu dan juga urusan tempat tinggal serta pengangkutan untuk tiga ahli kimia berkenaan dengan ketua sindiket berada di luar negara.
"Mereka telah membuat pagar tiga lapis di kebun durian berkeluasan 32 ekar (12.9 hektar) itu yang disewa sejak September lepas pada harga RM80,000 setahun, malah mereka juga telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling kawasan tersebut," katanya sambil menambah suspek turut membuat sambungan elektrik secara haram di kebun durian itu.
Beliau berkata sindiket memproses dan mengedar dadah antarabangsa itu membawa masuk bahan kimia serta peralatan memproses syabu dari luar negara dengan Malaysia dijadikan tempat memproses sebelum bahan terlarang itu diedar untuk pasaran tempatan serta luar negara.
Hussein berkata ketua sindiket memberi arahan dari luar negara untuk semua kegiatan mereka termasuk segala urusan pengedaran dan penghantaran bekalan dadah serta bahan kimia.
"Sindiket itu turut menggunakan beberapa kaedah untuk menghasilkan dadah berkenaan termasuk dalam bentuk cecair, serbuk dan kristal dengan ia dihasilkan mengikut lokasi syabu itu diedarkan.
"Kami juga berjaya mengesan taktik sindiket itu, yang juga pertama di negara kita, iaitu dengan cara melarutkan syabu ke dalam helaian fabrik sebelum dihantar melalui syarikat kurier antarabangsa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya mengesan tujuh bungkusan telah dihantar ke Australia dan Hong Kong dengan setiap satunya seberat 2 kg dan pihaknya percaya penerima bungkusan tersebut menggunakan bahan khas untuk mendapatkan syabu yang telah dilarutkan di dalam helaian fabrik berkenaan.
Hussein berkata polis turut menyita sebuah pacuan empat roda, sebuah mesin pengangkat, sebuah kereta Toyota Vios dan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) yang kesemuanya bernilai RM181,000 dengan ketiga-tiga mereka positif syabu manakala seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah di negara asal.
Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari hingga 27 Dis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


