Beberapa jam selepas heboh seorang bapa membenarkan anak lelakinya berusia sembilan tahun memandu kereta di Rembau, tular pula insiden sama, juga berlaku di Negeri Sembilan, menyaksikan seorang kanak kanak memandu sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata, hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Rantau, Seremban.

"Pada jam lebih kurang 4.41 petang tadi polis telah terkesan satu video tular melalui aplikasi WhatsApp yang berdurasi 1:18 minit memaparkan seorang kanak kanak di bawah umur dirakam sedang memandu sebuah lori treler jenis HINO.

"Kejadian berlaku di kawasan Rantau, Seremban dan satu laporan polis telah diterima berkait video yang tular itu kerana bapa kanak-kanak tersebut dengan cuai membiarkan anak bawah umur memandu lori treler," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Usaha untuk mengesan bapa dan kanak-kanak tersebut sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut termasuk umur kanak-kanak terbabit masih diteruskan," katanya.

BACA: Kanak-kanak 9 tahun pandu kereta, bapa disaman

Terdahulu, pada Isnin, tular video berdurasi 53 saat di Facebook bertajuk 'Handa orang Rombau haa'. yang memaparkan kanak-kanak lelaki memandu Proton Saga.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam dipetik berkata, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan awal mendapati, kanak-kanak terbabit memandu kereta tersebut tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berusia 47 tahun di Kampung Bongek.

Satu laporan polis juga dibuat dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.