MALAYSIA
Polis buru lelaki Pakistan perdaya kanak-kanak sebelum liwat, cabul di sekitar Shah Alam

Siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa dan berpura-pura meminta pertolongan sebelum membawa mereka ke kawasan sunyi untuk meliwat dan mencabul. - Foto IPD Shah Alam
SHAH ALAM: Polis sedang memburu seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terlibat dalam serangan seksual ke atas sekurang-kurangnya empat kanak-kanak lelaki dalam beberapa kejadian berasingan di Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini, sejak April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa dan berpura-pura meminta pertolongan sebelum membawa mereka ke kawasan sunyi untuk meliwat dan mencabul.
“Setakat ini, polis menerima empat laporan dan berdasarkan persamaan modus operandi, kita yakin semua kejadian itu dilakukan oleh individu yang sama dikenali sebagai Muhammad Hassan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Tambah Mohd Iqbal, suspek yang beralamat terakhir di Flat Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam itu dipercayai sudah melarikan diri ke utara tanah air.Susulan itu, kata beliau, empat kertas siasatan telah dibuka, dua di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Menurutnya, dua lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat, yang turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek atau kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895 dengan segera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami