IPOH: Sebuah kedai emas di Tanjung Rambutan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta selepas dipecah masuk awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik kedai emas itu berhubung kejadian berkenaan pada 10.30 pagi dan polis sedang memburu tiga lelaki yang disyaki melakukan jenayah itu.

"Siasatan awal polis mendapati kes berlaku kira-kira pukul 1 pagi hingga 3 pagi. Suspek yang mengenakan pelitup muka memecah masuk ke dalam kedai emas tersebut melalui pintu belakang.

"Mereka telah melarikan barangan kemas anggaran seberat tiga kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM1 juta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai menggunakan alat pemotong besi untuk membuka peti besi yang menyimpan kesemua barangan kemas berkenaan.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah kedai dan curi.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Norshaharah Marzuki melalui talian 010-3790508.