MALAYSIA
Polis cari bahan bukti di rumah Ebit Lew petang tadi

Menurut polis, ia bukanlah satu serbuan mahupun penggeledahan, sebaliknya cuma pemeriksaan biasa. - Gambar Sinar Harian
SHAH ALAM : Tiga buah kenderaan dipercayai milik polis dilihat memasuki kawasan kediaman pendakwah terkenal, Ebit Lew di Setia Alam, di sini kira-kira jam 4.15 petang Khamis.
Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai logo badan kebajikan pendakwah tersebut turut memasuki kawasan perumahan berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, kunjungan polis itu difahamkan untuk menjalankan siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.
Kenderaan polis kemudian dilihat keluar dari kawasan perumahan tersebut kira-kira jam 5.13 petang.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pasukan penyiasat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ke kediaman Ebit untuk mencari bahan bukti termasuk telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.
Jelasnya, ia bukanlah satu serbuan mahupun penggeledahan, sebaliknya cuma pemeriksaan biasa.
Pada Khamis, Ebit Lew dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai saksi untuk membantu siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengannya seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru.
Dalam laporan tersebut, Ebit Lew menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah yang kejam dan melampau terhadap dirinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami