Polis cari wanita warga emas hilang di Hutan Melintang

Seorang wanita warga emas dipercayai hilang selepas keluar dari kawasan rumahnya yang dikelilingi kebun sawit dan pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang, sejak Selasa lepas. - Foto Facebook Polis Daerah Bagan Datuk
IPOH: Seorang wanita warga emas dipercayai hilang selepas keluar dari kawasan rumahnya yang dikelilingi kebun sawit dan pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang, sejak Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Halimah Idris, 77, jam 4.12 petang pada Rabu oleh anak saudaranya, yang memaklumkan kali terakhir melihat mangsa kira-kira 9 pagi hari kejadian sebelum keluar bekerja.
Beliau berkata pengadu dimaklumkan bahawa ibu saudaranya telah keluar rumah memakai baju kurung berwarna merah dan kain batik semasa kali terakhir dilihat kira-kira 6 petang pada hari kejadian oleh ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati warga emas itu tidak pernah berkahwin dan tinggal berseorangan di rumah dengan keadaan uzur serta mempunyai penyakit pelupa, selain dikatakan sudah lama tidak keluar rumah dan segala urusan keperluan diuruskan oleh pengadu bersama ibunya.
"Mangsa dipercayai telah keluar rumah bersendirian dan menurut saksi, dia dilihat di jalan kebun sawit lebih kurang 200 meter dari rumahnya.
"Saksi kejadian berniat untuk menghantar warga emas itu pulang ke rumah tetapi mangsa berdiam diri, selain menurut anak saudaranya mangsa tidak menaiki kenderaan dan dipercayai bercakap dengan orang yang tidak dikenali," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohammad Ali berkata operasi pencarian orang hilang (OH) telah dijalankan oleh pasukan diketuai polis termasuk bantuan daripada pasukan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk, Unit K9 serta orang awam.
"Lokasi pencarian tertumpu di sekitar rumah mangsa yang merupakan kawasan kebun sawit dan pisang. Bilik Gerakan PKTK (Pos Kawalan Tempat Kejadian) dibuka di Surau Al-ikhsaniah Teluk Kerdu dan radius pencarian dibahagi kepada empat pasukan dengan keluasan tiga kilometer persegi dari PKTK.
"Selain itu, polis telah merakam percakapan pengadu berserta saksi. Hebahan media telah dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk di laman rasmi Facebook Polis Bagan Datuk dan semakan pendaftaran pesakit di Hospital Teluk Intan serta Hospital Sabak Bernam juga tidak mengesan mangsa," katanya.
Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata operasi mencari dan menyelamat wanita berkenaan ditangguhkan pada 6.39 petang tadi dan akan disambung esok.
"Pasukan mencari dan menyelamat digerakkan pada 9 pagi mengikuti jejak terakhir mangsa dalam radius pencarian lima kilometer hari ini menggunakan kaedah sweep. Operasi pencarian ditangguhkan dan akan disambung 8 pagi esok," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata operasi hari ini melibatkan sembilan anggota bomba termasuk Unit K9, polis (16), APM (lapan) dan orang awam (15).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


