ALOR SETAR: Modus operandi sentiasa berpindah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak lagi berhasil apabila satu sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu, akhirnya dicekup polis menerusi empat serbuan, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, operasi dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya menangkap sembilan individu dalam serbuan di Kedah dan Pulau Pinang bermula jam 1.15 petang.

Beliau berkata, sindiket itu dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Melayu Yong dan Kumpulan India Yong.

Modus operandi yang dilakukan oleh ahli sindiket itu adalah dengan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kerajaan yang lain.

Mereka turut menggunakan pelbagai ugutan supaya mangsa takut dan panik lalu terus membuat bayaran melalui pindahan wang bank.

"Kita percaya (sindiket) berubah-ubah untuk sukar dikesan. Modus operandi mereka yang pertama adalah dengan menyamar sebagai (pegawai) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, penguasa polis, ejen insurans dan macam-macam lagi. Ada juga yang menyamar dari pihak syarikat nombor ramalan," ujar Wan Hassan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Wan Hassan berkata, polis sedang mengesan dua lagi individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan ini, dengan salah seorang daripadanya merupakan dalang sindiket berkenaan.

Tambahnya, kesemua suspek berjaya dijejaki ekoran kes penipuan melibatkan seorang mangsa yang mengalami kerugian lebih RM15,000 baru-baru ini.

Polis percaya, kumpulan sindiket itu telah berjaya mengaut keuntungan lebih RM30 juta.

Pihak polis turut merampas dua buah komputer riba, 21 buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kenderaan pelbagai jenama, 18 buku catitan, empat dokumen, tiga kad juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, beg clutch serta wang tunai sebanyak RM14,100.

Katanya, lapan lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 19 hingga 51 tahun ini kini telah direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan penipuan yang boleh membawa hukuman 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Wan Hassan memaklumkan, sejak Januari hingga Disember tahun lalu, sebanyak 1,881 kes direkodkan berbanding 1,125 kes pada tahun 2020.

Di mana jumlah kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada 2021 berbanding tahun 2020 iaitu RM17,819,822.51.

Jelasnya, daripada jumlah 1,881 itu, sebanyak 90 peratus kes adalah membabitkan kes penipuan Macau Scam (397 kes), Love Scam (98 kes), pinjaman tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214), tipu belian online (593 kes).