Polis meminta pemaju dan jawatankuasa penduduk Kampung Pokok Asam bersepakat dalam menangani isu projek perumahan yang didakwa mengganggu ketenteraman penduduk kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gang Kong Meng berkata pihaknya telah mengatur beberapa sesi pertemuan antara kedua-dua pihak selain turut menjemput wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Agama Islam negeri, serta wakil rakyat kawasan itu untuk berbincang mengenai masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

Beliau berkata polis menerima 56 laporan sejak Januari 2011 sehingga semalam dengan 31 daripadanya dibuat penduduk dan selebihnya oleh pemaju.

"Kesemua laporan itu kita pandang serius dan akan perhalusi secara terperinci satu persatu," katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu penduduk, pemaju dan wakil kerajaan negeri di Balai Polis Jelutong di sini hari ini.

Beliau berkata daripada kesemua laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan ugutan serta merosakkan harta benda dan menahan seorang penduduk kampung untuk membantu siasatan.

Selain itu, katanya 55 daripada laporan itu tiada unsur jenayah dan sebahagian besar merupakan aduan penduduk berkenaan isu longgokan tanah di merata-rata tempat, banjir dan masalah penutupan jalan akses utama, bagaimanapun kesemua kes itu telah dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan.

Gan menyifatkan perkara itu sebagai masalah sivil dan menasihati pemaju supaya mengambil pertimbangan wajar sepanjang projek itu dijalankan dan prihatin dengan sensitiviti penduduk supaya konflik itu tidak merebak dan menggugat ketenteraman awam.

Beliau turut meminta penduduk tidak mengambil tindakan sendiri sehingga melakukan jenayah, sebaliknya lebih bertanggungjawab dalam menyalurkan sebarang maklumat kepada polis.

Mengulas mengenai perbincangan hari ini Gan berkata wakil kerajaan negeri bersetuju membina jalan akses baharu bagi memudahkan penduduk keluar masuk.

Konflik kampung berusia 100 tahun itu timbul apabila sebuah syarikat swasta membangunkan projek perumahan elit bersebelahan tanah penduduk melibatkan 29 keluarga.

Pada Mei tahun lepas, pemaju menawarkan pampasan antara RM14,000 dan RM180,000 kepada penduduk kampung terbabit agar mereka berpindah, namun mereka sepakat menolak tawaran itu.