Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya boleh meminta atau merampas telefon bimbit milik orang yang disyaki dan terlibat dalam mana-mana siasatan yang sedang dijalankan dan bukan orang awam secara rambang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataan semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam berkenaan isu PDRM mempunyai hak menyemak telefon bimbit orang awam, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap tajuk-tajuk utama yang telah disiarkan oleh pihak media.

"Pemeriksaan telefon bimbit tersebut hanya dilakukan apabila individu disyaki melakukan suatu kesalahan jenayah di bawah peruntukan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) atau Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Akta 769).

Beliau berkata orang awam boleh menghubungi Cawangan Pengurusan Aduan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, PDRM di talian hotline 1-800-880-222, e-mel ke [email protected] atau faks ke 03-22667080 sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau salah laku berhubung perkara tersebut.

-- BERNAMA