JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM2 juta melibatkan enam serbuan di sekitar Johor Bahru pada Ahad lalu.

Sindiket dadah tersebut dipercayai beroperasi lebih kurang setahun dan dadah yang dirampas dipercayai untuk tujuan pasaran tempatan bagi kegunaan pusat hiburan dan parti persendirian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan merampas sejumlah dadah.

Katanya, susulan dari penahanan tersebut, dua lelaki tempatan dan seorang wanita berusia antara 34 hingga 61 tahun telah ditahan.

Hasil daripada maklumat dan risikan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan  suspek didapati positif dadah jenis ketamin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dari soal siasat yang dijalankan, kita dapat mengesahkan bahawa sindiket ini telah beroperasi hampir setahun dan dadah ini adalah untuk kegunaan pasaran tempatan melibatkan penggunaan di pusat-pusat hiburan dan juga parti persendirian.

“Rampasan yang terlibat rampasan dadah... 32 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM1.9 juta, 481 gram (g) atau 1,582 biji pil ekstasi bernilai RM28,000, 300g atau 1,330 biji pil Erimin 5 bernilai RM19,000, 375g ketamin bernilai RM37,000 dan 114g syabu bernilai RM11,400.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah RM2 juta. Dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 113,324 penagih,” kata Ayob.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 Julai hingga 30 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ayob berkata, dalam serbuan berasingan bermula 16 Julai hingga 22 Julai, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan seramai  20 orang subjek yang dikehendaki diseluruh negeri Johor di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Tempoh reman siasatan LLPK adalah selama 60 hari dan jika sabit kesalahan, subjek boleh dikenakan perintah tahanan di mana-mana pusat pemulihan akhlak selama 2 tahun di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama atau dikenakan perintah sekatan selama 2 tahun dan perlu melaporkan diri di balai berhampiran.

Bermula 1 Januari sehingga 21 Julai, seramai 7,468 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan sebanyak 9,199kg dadah bernilai RM350.20 juta telah dirampas.