ISKANDAR PUTERI: Cubaan sindiket pengedaran antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai transit dadah gagal dengan rampasan dadah bernilai kira-kira RM14.33 juta di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, pada Sabtu.

Taktik sindiket itu mengisytiharkan Methamphetamine seberat 398.286 kilogram sebagai biji kopi bagi mengaburi pihak berkuasa tidak berjaya apabila dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) mengenai satu kontena dari Guatemala yang dijangka melalui PTP sebelum ke Filipina, dipercayai membawa dadah.

Razarudin berkata pihaknya percaya sindiket terbabit menjalankan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut dari luar negara dan menjadikan pelabuhan Malaysia sebagai transit sebelum bahan terlarang itu diseludup ke negara ketiga.

"Apabila kontena ini dibuka, kita dapati daripada 100 guni yang diisytiharkan sebagai biji kopi yang sepatutnya dihantar ke Filipina, ada 14 guni yang berisi dadah yang kita jangka boleh digunakan seramai kira-kira 1.99 juta penagih dadah. Ini kali pertama berlaku di PTP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Razarudin berkata bagaimanapun, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya masih menjalankan siasatan serta menunggu maklumat lanjut daripada PDEA.

Menurut beliau, syarikat perkhidmatan kontena di PTP itu dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah terbabit berikutan mereka hanya menyediakan perkhidmatan selain menjalankan sistem pengurusan kontena secara dalam talian.

Mengulas mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki cuba menyeludup masuk dadah seberat 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke Australia baru-baru ini, beliau berkata lelaki terbabit bukan keldai dadah.

"Lelaki berumur 38 tahun itu telah masuk ke Australia pada Januari tahun lepas. Saya boleh menolak kemungkinan bahawa dia bukan keldai dadah sebab sudah masuk ke negara itu pada Januari 2020.

"Kalau keldai dadah yang kita nampak (modus operandinya) adalah membawa dadah menggunakan kapal terbang turun di lapangan terbang dan ditangkap. Tetapi dia sudah duduk lebih setahun di Australia," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan masih dalam siasatan dan maklumat yang diberikan oleh pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) dapat membantu PDRM membuat siasatan lebih menyeluruh.

Pada 17 Okt lepas, PDRM memaklumkan bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.