ALOR SETAR: Polis Kedah sedang melakukan operasi memburu saki baki suspek dalam kejadian tembak-menembak di Jalan Jeniang-Kalai, dekat Gurun pada Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata dalam kejadian jam 11 malam itu dua suspek maut di tempat kejadian selepas terkena lima das tembakan daripada pihak polis.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 61 dan 48 tahun terlibat dalam 64 rekod jenayah lampau dimana 17 rekod kes samun, dua kes dadah, 20 kes jenayah harta benda, tiga kes Akta Bahan kakisan/Senjata Terlarang, empat rekod kes di bawah Akta Pencegahan Jenayah dan dua melibatkan lain-lain kes.

Suspek utama yang dipercayai ‘Mastermind’ berusia 61 tahun itu dikehendaki polis selepas mengatur 16 kes bersangkut samun berkumpulan dan bersenjata yang berlaku di sekitar daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan daerah lain.

"Polis dapat selesaikan setakat ini lebih daripada 16 ke 20 kes samun ekoran tertumpasnya kumpulan ini dan kita percaya mereka ini bukan hanya bergerak berdua sahaja dan kita yakin dan percaya bahawa yang jadi pemandu mungkin pointer yang di sebelah merupakan mastermind dalam group ini.

"Kita jangka ada lagi saki bakinya kerana ada ada tempat tertentu dia berdua suspek berdua atau pun ada tempat tertentu ada lima atau enam bergantung kepada kapasiti kes yang kita kaji dapati bahawa ada yang berlima ada yang berempat ada yang bertiga dan kita jangkakan ada lagi saki baki yang kita kenal pasti," katanya.

Wan Hassan berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) hari ini.

BACA: Dua penjenayah mati dalam kejadian berbalas tembakan di Gurun

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) (cuba bunuh orang), Seksyen 8 Akta Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh (14) tahun dan boleh juga dikenakan denda dan sebatan.

Menurut Wan Hassan dalam kejadian itu polis merampas dua pucuk pistol jenis Revolver.38 masing-masing sebilah parang dan pedang, kuku kambing, pemutar skru, tiga topeng penutup muka, sepasang sarung tangan, dua jaket dan dua beg galas dipercayai digunakan dalam kes samun dan pecah rumah.

Wan Hassan turut memaklumkan dalam kejadian berbalas tembakan itu seorang daripada anggota polis terkena tembakan namun selamat.

"Kita tahu suspek yang terlibat ini juga dipercayai menggunakan senjata api dan mempunyai senjata berbahaya dan sebagainya jadi anggota polis memang ada ditembak tetapi tidak cedera kerana memakai baju kalis peluru jadi sekarang ini semua dalam operasi apa pun memang anggota diwajibkan memakai baju kalis peluru," tambahnya.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan dua lelaki yang dikehendaki polis maut dalam kejadian berbalas tembakan selepas mengingkari arahan untuk berhenti yang dikeluarkan polis.