ALOR SETAR: Polis Kedah hari ini menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung kes seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, yang didakwa dilarikan dua lelaki tidak dikenali di Kuala Nerang, semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pihaknya pada mulanya menerima laporan berhubung kejadian itu, dengan mangsa mendakwa didatangi dua lelaki ketika berada di sebuah hentian bas kira-kira 5.50 petang pada Ahad.
“Mangsa memaklumkan dia didatangi dua suspek yang bertindak menutup mata dan mulutnya sebelum menolaknya masuk ke dalam sebuah kenderaan. Mangsa turut mendakwa tangan dan kakinya diikat sebelum ditinggalkan di tepi jalan.
“Mangsa kemudian ditemukan polis dan dibawa ke Balai Polis Kota Putra untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Bagaimanapun, Adzli berkata siasatan lanjut mendapati laporan berkenaan palsu dan direka oleh mangsa, kerana berasa malu serta tertekan selepas tersilap memasuki tandas perempuan di sekolahnya sebelum kejadian itu.
“Mangsa memaklumkan bahawa selepas tamat sesi persekolahan, dia tersilap memasuki tandas perempuan berhampiran surau. Ketika keluar dari tandas, dia terserempak dengan seorang pelajar perempuan sebelum melarikan diri kerana panik selepas diekori beberapa pelajar perempuan.
“Dalam keadaan buntu dan tertekan, mangsa menahan sebuah motosikal yang membawanya ke Ladang Sungai Seraya. Selepas berjalan tanpa tujuan, dia menaiki sebuah lagi motosikal ke kawasan Kota Putra sebelum ditemukan polis,” katanya.
Adzli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata siasatan turut mendapati mangsa baru berpindah ke sekolah berkenaan daripada sebuah sekolah berasrama di sini, selepas menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar senior.
“Mangsa sebelum ini pernah membuat laporan polis berhubung kes buli berkenaan dan difahamkan ia telah diselesaikan. Bagaimanapun, polis membuka semula kertas siasatan dan menahan empat pelajar Tingkatan Empat dan Lima bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata polis memandang serius kes buli di Kedah yang mana pada tahun lepas, sebanyak 43 kes buli direkodkan di seluruh negeri.
“Manakala dari Januari hingga Jun tahun ini tujuh kes dilaporkan. Penurunan itu menunjukkan keberkesanan kempen antibuli yang dilaksanakan,” katanya.
-- BERNAMA