PADANG TERAP:Cubaan sindiket menyeludup masuk dadah jenis heroin seberat 100 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM10 juta menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Kedah digagalkan polis.

Sumber berkata, polis menahan dua lelaki Thailand berusia dalam lingkungan 30-an di kawasan Padang Sanai di sini, kira-kira jam 8 malam Rabu.

"Suspek dipercayai bertindak sebagai transporter atau penghantar dadah berkenaan untuk pasaran negara ini," katanya di sini, pada Khamis.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan ketika menaiki sebuah kereta yang membawa muatan dadah itu.

Beliau berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil maklumat dan risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan JSJ Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Difahamkan, satu sidang media khas berkaitan kejayaan tangkapan terbesar dadah ini akan diadakan di IPD Padang Terap, esok.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan termasuk membanteras aktiviti penyeludupan dadah susulan insiden berbalas tembakan mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan mencederakan rakanny, pada Selasa.

BACA: Serangan penyeludup di sempadan: PDRM atur gerak aset, anggota ke sempadan - KPN

BACA: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata, kenderaan perisai tambahan dan anggota daripada JSJ dan JSJN Bukit Aman akan digerakkan mulai Khamis ke sempadan Malaysia-Thailand bagi mengukuh kawalan sempadan.

Ini berikutan insiden kedua serangan penyeludup terhadap anggota PGA yang bertugas di sempadan negara pada petang Rabu, selepas serangan pertama sehari sebelum itu.