ALOR SETAR: Polis Kedah menahan empat lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah dengan berat lebih tujuh kilogram (7,352.31 gram) bernilai RM214,288 dalam tangkapan berasingan di tiga lokasi pada Selasa lepas (18 April) dan semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berumur 47 tahun di sebuah rumah di Kampung Balor Rambai, Mukim Bukit Tinggi di Jitra pada 3.20 petang Selasa.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kedah telah memeriksa rumah dan menahan lelaki itu di dalam bilik pertama rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik itu telah menjumpai satu beg kertas yang mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat 5,025 gram bernilai RM180,900 di atas lantai bilik pertama tersebut," katanya.

Wan Hassan berkata kemudian polis berjaya menahan dua lagi lelaki berusia lingkungan 30-an dalam sebuah kenderaan di tempat letak kenderaan hadapan sebuah hotel dekat sini pada 4 petang hari sama selepas hasil soal siasat terhadap suspek pertama.

"Hasil pemeriksaan fizikal tidak menjumpai apa-apa barang salah. Pihak polis tangkap kedua-kedua lelaki tersebut dan turut merampas satu rangkai yang terdapat lima batang anak kunci dari dalam kenderaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 24 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, telah menjumpai satu plastik warna hitam bertulis 'black safe' di atas kerusi penumpang hadapan yang mengandungi satu plastik lutsinar berikat getah berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat 510 gram.

"...dan satu plastik warna hitam bertulis 'black safe' yang mengandungi empat peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 1,817.31 gram," katanya yang turut memaklumkan lelaki itu direman tujuh hari sehingga 25 April nanti.

Wan Hassan berkata lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 207 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960.

Beliau berkata sebelum itu, lelaki berkenaan bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan cubaan merempuh anggota serbuan selain bertindak merempuh dua kenderaan milik pasukan sehingga memandu kenderaan itu ke jalan utama Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan).

Katanya, suspek bertindak sedemikian semasa pasukan polis membuat serbuan terhadapnya di kawasan tempat letak kereta Port Kambing Bakaq, susur keluar Bukit Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan di Jitra pada4 petang semalam.

-- BERNAMA