KULIM: Polis Kedah menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam penipuan pakej umrah tidak wujud di negeri itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, suspek lelaki berusia 49 tahun itu ditahan selepas polis menerima 17 laporan sehingga 8 Disember lalu.

Beliau berkata, seramai 17 mangsa telah berurusan dengan suspek yang juga pemilik Syarikat Travel & Tour, memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej umrah tidak wujud.

“Semua mangsa telah membuat bayaran bagi menunaikan umrah berjumlah RM209,303.

“Suspek memberi pelbagai alasan kepada mangsa dengan menangguhkan tarikh menunaikan umrah.

"Mangsa yang berasa mereka ditipu telah datang ke pejabat suspek di Kulim dan mendapati telah ditutup,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Redzuan berkata, susulan itu polis telah membuka 17 kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Keseksaan dan Sekyen 409 kanun yang sama.

Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.