ALOR SETAR: Polis Kedah meningkatkan kawalan rondaan dan menempatkan anggota di kawasan sekolah dikenal pasti bagi mengelak berlakunya kejadian culik.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan melakukan pematauan dan rondaan dua kali setiap hari iaitu pada waktu pagi dan tengah hari ketika murid pulang dari sekolah.

Beliau berkata, langkah ini perlu diambil supaya tiada kejadian penculikan berlaku di negeri ini.

Katanya, setakat ini polis telah menerima dua laporan berkaitan cubaan culik iaitu di Gurun dan Tanjung Dawai.

Namun, jelas beliau, siasatan mendapati apa yang berlaku hanyalah salah faham kerana individu yang datang mengambil pelajar itu adalah bapa saudara murid terbabit.

Wan Hassan berkata, kerjasama daripada ibu bapa ataupun penjaga perlu supaya datang awal untuk menjemput anak mereka dan tidak membiar mereka menunggu lama di kawasan hadapan sekolah.

Katanya, pihak sekolah turut disarankan supaya memasang kamera litar tertutup di hadapan sekolah dan pondok pengawal sebagai langkah keselamatan.

“Kita akan tempatkan atau buat rondaan lebih kerap terutama waktu pagi atau tengah hari waktu hantar sekolah atau petang waktu pulang sekolah sebab apa pun tindakan kerjasama daripada masyarakat sekira ternampak ada sesuatu yang mencurigakan ataupun kereta-kereta yang mencurigakan dan membuat sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku cepat-cepat hubungi polis,”  kata Wan Hassan.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Astro AWANI di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Kedah, di sini, hari ini.



Sementara itu, Wan Hassan turut memaklum kawalan keselamatan di sempadan turut dipertingkatkan terutama di pintu utama Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Padang Terap bagi mengekang jenayah penculikan dan pemerdagangan organ ini berlaku.

Jelasnya, pasukan khas turut ditubuhkan bagi memantau selain membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) di sepanjang 110 kilometer laluan sempadan Malaysia-Thailand.

“Di samping kawalan daripada PGA pasukan siasatan khas kita ataupun pasukan operasi khas kita Narkotik dan CID memang sentiasa berlegar di kawasan sempadan sekiranya kita dapat maklumat, kita akan ambil tindakan serta-merta,” kata beliau lagi.

Sehibungan itu, Wan Hassan menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar berita yang tidak sahih lebih-lebih lagi membabitkan isu sensitif.

Beliau turut memberi amaran mana-mana individu yang terbabit dalam penyebaran berita tidak benar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.