PETALING JAYA: Sebanyak 689 saman kesalahan lalu lintas membabitkan pelajar dua sekolah di Petaling Jaya direkodkan sejak Januari lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu yang sah, mengubah suai motosikal, lesen kenderaan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar membabitkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

"Bagi menangani masalah ini, pihak polis sering mengadakan program kesedaran kepada pelajar di sekolah menerusi Op Didik mengenai kesalahan lalu lintas serta kesalahan jenayah," katanya pada sidang media selepas Program Prihatin Lesen Memandu pelajar sekolah Parlimen Petaling Jaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan di sini, hari ini.

Ditanya mengenai Op Didik menyebabkan pelajar takut hadir ke sekolah, Sasikala Devi berkata operasi tersebut adalah usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendidik dan memberi kesedaran supaya pelajar mempunyai pengetahuan serta mematuhi undang-undang jalan raya serta kesalahan jenayah lain.

Terdahulu, Sasikala Devi menyampaikan lesen memandu percubaan (lesen L) secara percuma kepada 100 pelajar SMK Taman Medan dan SMK Taman Datuk Harun serta anak warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sebagai usaha memastikan mereka memiliki lesen menunggang motosikal yang sah.

Sasikala Devi berkata pemberian lesen itu adalah kerjasama IPD Petaling Jaya dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Institut Memandu Safety Driving Centre Sdn Bhd melibatkan kos RM17,000.

"Ini adalah projek pertama dan mungkin akan diteruskan bergantung kepada semua pihak yang boleh berkolaborasi serta tajaan daripada pihak berkaitan," katanya.

-- BERNAMA