KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua individu disyaki terlibat melakukan perbuatan khianat dengan membakar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Seroja, Kampung Sungai Kayu, Damansara, PJ, tengah malam Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati perbuatan itu dilakukan oleh dua individu.

"Terdapat dua individu menaiki motosikal berhenti di bahagian hadapan kereta berkenaan pada 12.26 tengah malam dan terus menuang cecair disyaki petrol untuk membakar kereta itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pemilik kenderaan berkenaan seorang lelaki berusia 56 tahun dan bekerja sebagai kontraktor memaklumkan dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa serta tidak mengesyaki mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan khianat itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA