KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali sekali lagi menggesa syarikat pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Labuan untuk segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan syarikat terlibat menerima fleet card bagi menikmati manfaat subsidi bahan api pada kadar RM2.15 seliter bagi pengangkutan darat barangan, manakala RM1.88 seliter untuk sektor pengangkutan darat awam.
Armizan berkata pendaftaran permohonan menyertai SKDS untuk pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula pada 4 Mei lepas.
"Penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapat manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuatkuasakan pada satu masa yang akan diumumkan, justeru syarikat bagi kedua-dua sektor ini digesa untuk membuat pendaftaran SKDS pada kadar segera.
"Langkah ini penting untuk membolehkan kenderaan syarikat tersenarai di bawah 33 jenis kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS terus menerima subsidi diesel," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Fleet Card SmartPay PETRONAS melibatkan sebahagian syarikat yang mendapat kelulusan SKDS di sini hari ini.
Setakat 14 Jun, Armizan berkata sebanyak 8,060 syarikat membabitkan ketiga-tiga wilayah mendaftar SKDS melibatkan 29,631 kenderaan.
Beliau berkata setiap syarikat pengangkutan darat barangan dan awam perlu mengambil peluang mendaftar di bawah sistem SKDS bagi mengelakkan pihak terbabit membayar harga bahan api berkenaan pada harga biasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata SKDS ialah pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.
"Mekanisme penggunaan fleet card dalam pelaksanaan SKDS bertujuan memastikan subsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.
"Langkah ini sebagai usaha mengekang ketirisan subsidi diesel sama ada melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh warga asing dan pendatang tanpa izin," katanya.
Senarai jenis kenderaan dan permohonan pendaftaran menyertai SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi menerusi pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
-- BERNAMA