JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan lapan individu dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah melalui kawasan larangan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata video mengenai kejadian itu turut tular menerusi media sosial.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada anggota polis yang bertugas di BSI pada 1.12 pagi tadi.

"Hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu berlaku pada 5.40 petang semalam melibatkan lima lelaki dan tiga perempuan yang belum dikenal pasti bangsanya.

"Kita telah mengambil tindakan awal dengan mendirikan khemah dan menempatkan kawalan anggota 24 jam di kawasan kejadian selain memasang kawad berduri sementara di tepi pagar tebing Selat Tebrau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan jika didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.

Beliau turut meminta individu terbabit supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk diambil keterangan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi IPD JBS di talian 07-2182 323 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-116086110.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi laman Facebook beliau memaklumkan perkara tersebut telah dibincangkan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata ia bertujuan menyelesaikan isu yang tidak berkesudahan berlaku di CIQ.

"Saya berharap pihak kementerian akan lebih serius dalam menangani isu yang memberi kesan kepada imej negara dan negeri Johor," katanya.

-- BERNAMA