SUBANG JAYA: Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes seorang wanita yang mendakwa seorang penghantar e-hailing melakukan gangguan seksual di Taman Mutiara Subang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berdasarkan aduan dan maklumat yang diberikan mangsa.

"Kita sedang menyemak data dalam rekod penghantar e-hailing itu, segala maklumat yang diperolehi akan membantu kita dalam mengesan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Abd Khalid turut mengalukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah berkaitan kes itu dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya menerusi talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut.

"Segala identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan berhubung kejadian yang dikongsikan mangsa di laman Twitternya.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 23 tahun itu mahu mengambil kek yang dipesan melalui sebuah syarikat penyedia penghantaran e-hailing, namun mahu mengambil pesanan daripada lelaki tersebut, mangsa mendakwa ternampak zip seluar lelaki terbabit terbuka sehingga mendedahkan alat sulitnya.

Pada masa sama, lelaki terbabit didakwa menarik pergelangan tangan kiri mangsa beberapa kali namun mangsa sempat menarik semula tangannya sebelum bergegas masuk ke pejabat.

Dalam pada itu, syarikat penghantaran terbabit menerusi kenyataan di ruang balasan ciapan mangsa memaklumkan tindakan telah diambil terhadap pemandu e-hailing tersebut.


*Berita asal di Sinar Harian