MALAYSIA
Polis kesan saksi kes warga Bangladesh didakwa cabul kanak-kanak di Kajang

ACP Naazron Abdul Yusof berkata, saksi kejadian masih dikesan bagi membantu siasatan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun didakwa dicabul oleh seorang pekerja warga Bangladesh di sebuah kedai serbaneka di Kajang dekat sini pada Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata ini susulan pihaknya telah mengesan satu video tular dimuat naik semalam oleh pemilik akaun X @Negeri09 yang mendakwa berlaku kejadian gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dan seorang lelaki dikasari.
"Semakan mendapati laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang merupakan bapa mangsa pada 12 Mac lepas, memaklumkan anaknya dicabul pada 27 Feb. Laporan dibuat selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya pada 11 Mac.
"Saksi kejadian masih dikesan bagi membantu siasatan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Norfaziana Sirkam di talian 019-5759 045 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami