KUALA LUMPUR: Penceramah bebas yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan direman sehingga minggu depan bagi membolehkan polis Kuala Lumpur menyiasat kes membabitkan suspek tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan menerima suspek daripada polis Selangor pada Sabtu.

"Suspek mungkin direman sehingga minggu depan untuk membantu siasatan sebelum dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan penceramah bebas yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan diserah ke polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi tindakan lanjut.

Ia dilakukan selepas tempoh reman lima hari terhadap suspek berusia 30-an itu tamat.

Media sebelum ini melaporkan seorang penceramah bebas popular ditahan pada Isnin lalu selepas dipercayai terbabit dalam kes merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada jam 4.50 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. -Sinar Harian