KULIM: Polis akan melaksanakan kawalan dan pemantauan lebih ketat ke atas 11 Bazar Ramadan dan satu Bazar Aidilfitri di daerah Kulim.

Ia bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung berada pada tahap tertinggi, terutama pada minggu terakhir menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurut Ketua Polis Kulim Supt Azhar Hashim, pasukan pemantau yang terdiri daripada 20 pegawai dan 60 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim akan ditugaskan bagi tujuan tersebut.

Mereka akan memantau sebarang pelanggaran terhadap arahan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti daerah Kulim.

"Tindakan drastik ini akan kita ambil dalam tempoh lagi seminggu sebelum Hari Raya.

"Kita lihat bahawa penularan wabak positif di daerah Kulim begitu ketara dan sekiranya SOP tidak dipatuhi memang kita ada pasukan pemantau yang akan melaksanakan kompaun, kepada peniaga ataupun pelanggan," katanya.


Azhar berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemantauan di Bazar Aidilfitri Dataran Kulim, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, pihaknya mengadakan perbincangan dengan penganjur bazar untuk menyediakan sistem keluar masuk yang lebih teratur dalam memastikan penjarakan fizikal sentiasa diamalkan. 

Antara yang dilakukan termasuk memberi kupon masuk kepada pengunjung bagi mengehadkan jumlah individu yang berada di dalam setiap bazar. 

Peniaga bazar di Kulim dibenarkan meneruskan perniagaan seperti biasa dengan mematuhi SOP diperketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19. - Astro AWANI

"Kita menasihatkan agar sistem kupon ini digunakan, di mana, contohnya ada tiga tempat, satu kawasan kita hadkan kepada 70 pelanggan.

"Kemudian, kawasan kedua dalam 100 ke 150 (pelanggan). Dan bagi bazar yang agak besar, lebih kurang 200 ke 250. Dengan cara ini kita dapat mengawal kemasukan berapa ramai," jelasnya.

BACA: Aktiviti khas Ramadan di zon merah dalam daerah PKP di Kedah dibenarkan 

BACA: Kedah benar bazar Ramadan, Aidilfitri di daerah PKP 

Azhar turut menasihati orang ramai agar tidak leka dan lalai selepas kelonggaran yang diberikan pihak MKN khususnya bagi membenarkan kumpulan peniaga bazar meneruskan jualan mereka meskipun daerah Kulim dikenakan perintah PKP. 

Supt Azhar turut memeriksa suhu pengunjung Bazar Aidilfitri Dataran Kulim. - Astro AWANI

Ia susulan trend kes harian yang tidak menentu di daerah berkenaan termasuk 30 kes yang dicatatkan pada Rabu dan 16 kes pada Selasa.

BACA: Kedah harap bazar di kawasan PKP diberi kebenaran beroperasi

Sebanyak lima daripada 12 daerah di seluruh Kedah dikenakan PKP bermula 1 hingga 14 Mei ini. Daerah terlibat adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Bagaimanapun, Kedah masih lagi kekal sebagai negeri berstatus PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 17 Mei depan melibatkan tujuh daerah selebihnya.