Polis sedang mengesan sebuah van berwarna putih yang dipercayai digunakan untuk melarikan seorang kanak-kanak dan seorang remaja perempuan, dalam kejadian yang berlaku di Jalan FAC Matang di Kuching petang tadi.

Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata pihaknya sudah melancarkan Ops Tutup iaitu sekatan jalan raya di seluruh kawasan Padawan bagi mengesan van tersebut.

Pada masa sama, Aidil berkata hebahan juga sudah dibuat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Serian, Bau dan Lundu untuk gerakan mencari dan mengesan kedua-dua mangsa serta individu terlibat.

Menurutnya, mangsa yang berusia 10 dan 17 tahun dilaporkan dilarikan dari tepi Jalan FAC Matang oleh dua lelaki bertopeng.

Insiden tersebut disaksikan oleh kakak mangsa yang ketika itu berada tidak jauh dari lokasi dua mangsa itu dilarikan.

Bagaimanapun, katanya nombor pendaftaran van berkenaan tidak dapat dikenal pasti.

Sementara itu, rakaman pesanan suara daripada bapa mangsa turut tular di media sosial hari ini selain dikongsi dalam kumpulan aplikasi Whatsapp bagi memaklumkan kejadian itu.