Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup sisa kacang soya yang diimport dari Argentina ke Pulau Pinang.

Tongkang yang yang membawa 155 tan sisa soya dari Argentina itu ditahan ketika berlabuh di Jeti Sungai Perai pada jam 5.30 petang Rabu.

Pemeriksaan mendapati sisa kacang soya itu dipercayai dibawa masuk secara haram untuk dijadikan makanan kepada haiwan peliharaan di negeri ini.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu (W1), Superintendan Dimin Awang berkata, ejen membawa masuk sisa kacang soya itu mendakwa sisa itu adalah untuk dilupuskan.

Namun ejen gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit import daripada pihak pertanian.

"Hasil pemeriksan kita dapati terdapat sisa kacang soya dipercayai diimport daripada Argentina untuk dilupuskan namun tidak ada sebarang dokumen dari MAQIS," katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati lesen tongkang terbabit juga didapati sudah tamat tempoh dan nilai keseluruhan barang yang dirampas termasuk tongkang berjumlah RM250,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan Seksyen 472(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Dimin berkata demikian pada sidang media di Jeti Sungai Perai, pada Khamis.