Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya membuat rampasan bernilai kira-kira RM170 juta sepanjang 2019, sehingga Oktober lepas.

Antara barang seludup yang berjaya dirampas termasuklah bahan-bahan alam semulajadi seperti flora dan kayu balak.

"Baru-baru ini, dua buah tangki minyak juga berjaya dirampas di Miri. Nilai rampasan keseluruhan tahun ini sehingga Oktober ialah RM170 juta, satu kejayaan yang besar.

"Masih berbaki dua bulan, kami nak memperbanyakkan lagi rampasan bahan-bahan seludup transnasional ini. Kami juga tidak tolak isu pendatang asing tanpa izin (PATI), mungkin akan ada lebih banyak tangkapan," kata Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Operasi Keselamatan Maritim Serantau di ibu negara, pada Selasa.


Bengkel selama seminggu bermula Isnin itu mengumpulkan 35 pegawai kanan anggota pasukan polis marin dari 13 negara antaranya Papua New Guinea, Indonesia dan Filipina.

"Antara yang dibincangkan adalah penguatkuasaan maritim, undang-undang antarabangsa dan isu kemanusiaan.

"Kami juga membincangkan tentang peranan maritim dalam mengekalkan humanitarian ground di negara-negara yang mempunyai sempadan laut," ujarnya lagi.

Dianjurkan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), edisi ketiga bengkel ini diharap dapat memberi kesedaran tentang kesan kemanusiaan terhadap keselamatan maritim dan dapat mewujudkan ruang untuk membincangkan isu-isu kemanusiaan.