BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang masih memburu suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di kawasan medan selera di Kampung Baru, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad memberitahu polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha menjejaki empat lelaki dan juga seorang wanita sedang giat dilakukan pihak polis.

“Kita sudah kenal pasti suspek, mereka ini saling mengenali dengan mangsa, dan usaha mengesan mereka kini sedang dilakukan polis.

“Setakat ini, punca kejadian serta punca pergaduhan juga masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Shafee berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas ditikam, dikelar dan ditetak di seluruh badan.

Dalam masa sama, beliau memohon orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222.

Pada Sabtu, seorang lelaki maut dipercayai ditikam dan ditetak dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu termasuk seorang wanita.

BACA: Lelaki maut ditikam, ditetak dalam pergaduhan

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia 30-an berkenaan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) oleh orang awam untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, tular tiga buah video berdurasi lima, tujuh dan 10 saat yang memaparkan kejadian pergaduhan menggunakan senjata tajam.

Dalam video itu, kelihatan seorang wanita didapati memegang senjata tajam dipercayai parang dengan terdapat mangsa yang parah terbaring di atas jalan dan berlumuran darah.