Polis Melaka selamatkan 27 warga Myanmar mangsa pemerdagangan manusia

Polis menyelamatkan 15 lelaki dan 10 wanita warganegara Myanmar berusia antara 23 hingga 47 tahun yang disyaki bekerja tanpa permit atau pas sah, selain seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Polis Melaka menyelamatkan 27 warganegara Myanmar, termasuk seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan, yang disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia serta penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah dalam serbuan di sebuah premis di Pusat Niaga Nakhoda, di sini, semalam.
Ringkasan AI
- Polis Melaka menyelamatkan 27 warganegara Myanmar, termasuk remaja, daripada sindiket pemerdagangan manusia serta penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah di Pusat Niaga Nakhoda.
- Dua individu tempatan yang dipercayai pengurus premis ditahan dalam serbuan Ops Pintas Khas yang melibatkan operasi oleh anggota polis dari beberapa bahagian.
- Mangsa diselamatkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dengan tindakan keras berpotensi diambil terhadap pihak yang terlibat dalam jenayah tersebut.
"Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 15 lelaki dan 10 wanita warganegara Myanmar berusia antara 23 hingga 47 tahun yang disyaki bekerja tanpa permit atau pas sah, selain seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
"Siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi sebagai restoran di bahagian bawah, manakala tingkat atas dijadikan tempat tinggal pekerja dengan enam bilik disediakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Christopher berkata tindakan menyelamatkan mangsa dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selepas penilaian dibuat berdasarkan National Guideline on Human Trafficking Indicator (NGHTI 2.0).
Beliau berkata pemeriksaan mendapati pekerja terbabit bekerja tanpa hari cuti dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, manakala laluan keluar masuk premis dikunci selepas waktu operasi dengan kunci hanya dipegang pihak pengurusan, sekali gus mengehadkan kebebasan pergerakan mereka.
Katanya keadaan tersebut memenuhi elemen eksploitasi dan pengurungan yang menjurus kepada kes pemerdagangan manusia, dengan polis turut merampas dua telefon bimbit serta enam jadual kerja sebagai barang kes.
Beliau berkata kesemua 25 mangsa dewasa yang diselamatkan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 44 Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala dua remaja terbabit diberikan perintah perlindungan interim.
"Polis Melaka akan terus membanteras jenayah pemerdagangan manusia, eksploitasi buruh serta penggajian pekerja asing tanpa dokumen, khususnya melibatkan kanak-kanak dan golongan rentan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan manusia diseru menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


