MELAKA: Polis Melaka menahan 12 individu terlibat aktiviti penipuan dalam talian termasuk seorang lelaki dipercayai pengurus kegiatan itu, yang cuba merasuah polis sebanyak RM60,000 bagi melepaskan ahli sindiket itu dalam dua serbuan berasingan di sekitar Melaka, semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata tangkapan pertama melibatkan 11 suspek, terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berusia berusia 18 hingga 24 tahun, di sebuah rumah yang dijadikan pusat penipuan dalam talian di Taman Cheng Perdana di sini, kira-kira 10.40 pagi semalam.

"Tangkapan 11 suspek berkenaan ekoran laporan yang dibuat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, yang mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

"Justeru, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana dan berjaya menahan 11 individu terlibat dalam kegiatan penipuan berkenaan, dipercayai sejak setahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainol berkata hasil siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam 12 kes penipuan dalam talian, masing-masing dua di Kedah, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak, manakala satu kes di Perlis dan Perak, melibatkan anggaran kerugian lebih RM65,000.

Beliau berkata kumpulan sindiket berkenaan, didapati menggunakan premis berkenaan yang disewa pada harga RM4,000 sebulan, bagi menjalankan aktiviti penipuan itu sejak sebulan yang lepas.

Zainol berkata empat daripada lelaki berkenaan masing-masing mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan penipuan di negeri lain, dan rampasan barang kes bernilai RM17,000 turut dilakukan.

Beliau berkata susulan penangkapan itu, seorang lelaki dikenali sebagai 'Ah Boy' berusia 25 tahun yang dipercayai pengurus pusat penipuan dalam talian itu berjaya ditahan di luar sebuah kedai makan di Simpang Ampat, Alor Gajah di sini kira-kira 1.15 petang semalam.

Zainol berkata sebelum tangkapan dibuat, lelaki berkenaan telah menawarkan wang rasuah sebanyak RM60,000 yang diisi dalam sebuah beg yang diambil dalam keretanya, kepada anggota polis.

"Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melepaskan dirinya dan rakan-rakan sindiket penipuan tersebut namun suspek telah ditahan dan wang berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut atas kesalahan cuba merasuah anggota polis.

"Suspek dan wang berkenaan juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA